24 tahun yang lalu Tuan Guru Tuan Ibrahim mengazankan dan mendoakan bayi ini, hari ini ‘dia’ ditabalkan jadi Tengku Mahkota Pahang

Portal Diraja Pahang

NUKILAN DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Alhamdulillah.

Pagi 17hb Sept 1995, saya menerima panggilan dari pihak istana memaklumkan Tengku Puan Pahang telah memasuki bilik bersalin, dan saya diminta untuk segera datang ke Hospital.

Dengan jubah putih (baru selesai kuliah) saya terus ke wad Diraja, hospital dan dimaklumkan Tengku Puan telah selamat melahirkan seorang Putera.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi.

Saya terus dibawa masuk ke bilik khas, Tuanku Sultan Abdullah meminta saya masuk untuk azan dan iqamah bayi ini.

Alhamdulillah saya memangkunya, kemudian mengazan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya, mencium dahi dan mendoakan kebaikan untuknya dan kedua ibubapa. Kemudian menyerahkan kepada bidan yang menjaganya.

Kenangan itu masih segar dalam ingatan kerana ia insan yang istimewa pewaris takhta Kerajaan Pahang Darul Makmur.

Yb Dato Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Ahli Parlimen Kubang Kerian
30hb Jan 2019

sumber; Dato’ Hj Najmi Hj Ahmad – Official

Berita sisipan…

Tengku Hassanal azam cemerlang seperti ayahanda

PEKAN – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang hari ini dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang berazam untuk mencapai kecemerlangan seperti mana ayahanda baginda dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri ini.

Tengku Hassanal dalam titahnya mengakui, ayahanda baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahdan dan nenda Sultan Ahmad Shah telah meletakkan penanda aras yang tinggi semasa bergelar Tengku Mahkota Pahang.

“Saya akui memang tinggi (penanda aras yang diletakkan ayahanda baginda) tetapi saya akan cuba sebaik mungkin. Saya masih muda dan masih belajar malah tidak pernah berhenti belajar untuk memperbaiki diri.

“Saya akan meneruskan legasi yang telah dimulakan oleh semua Tengku Mahkota Pahang sebelum saya seperti mana yang telah dititahkan Sultan. Ini juga adalah satu tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT untuk saya menjaga rakyat Pahang,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian selepas berkenan menemui pemberita setelah istiadat pemasyhuran baginda selaku Tengku Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar di sini hari ini yang disempurnakan Sultan Abdullah.

Dalam istiadat yang diadakan di Balairung Seri itu, putera sulung kepada Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.

Ia berikutan ayahanda baginda Sultan Abdullah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuatkuasa Khamis ini.

Baca berita penuh di pautan di bawah…

Tengku Hassanal azam cemerlang seperti ayahanda

sumber; http://www.kosmo.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*