Bonus Raya; Ribuan peminjam ingkar PTPTN tak lagi disenarai hitam imigresen – Dr Mazlee

Malaysiakini

Proses mengeluarkan nama peminjam ingkar PTPTN daripada senarai hitam imigresen akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selepas menjelang pertengahan Jun, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata, proses itu bermula pada 24 Mei lalu dan dijangka selesai pada 5 Jun, sekali gus menepati antara ikrar pilihan raya Pakatan Harapan.

“Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun.

“Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, di Putrajaya, hari ini.

Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata kementerian memerlukan lebih banyak masa untuk mencari jalan melaksanakan janji itu, termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

“Berkaitan dengan PTPTN dan penangguhan bayaran, kami telah menubuhkan suatu kumpulan untuk melihat dan mengkaji dengan lebih teliti apakah cara yang terbaik supaya janji tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari dengan tidak menggadaikan beberapa kepentingan rakyat yang lain yang juga turut diberikan keutamaan oleh kerajaan yang baru.

“Insya -Allah saya akan membuat pengumuman yang sewajarnya sebelum akhir tempoh 100 hari pertama (Pakatan Harapan menerajui kerajaan persekutuan),” katanya.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, yang memberitahu bahawa lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000.

Namun menurutnya, serama 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

Justeru, kini masih terdapat kira-kira 433,000 peminjam yang sedang dikeluarkan nama mereka secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata mereka yang perlu melakukan perjalanan ke luar negara tetapi masih belum dikeluarkan daripada senarai hitam berkenaan boleh menghubungi PTPTN untuk menyelesaikan perkara itu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata mereka yang gagal membuat pembayaran PTPTN selama enam bulan akan disenaraihitamkan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), yang akan menjejaskan penarafan kredit masing-masing.

sumber; Malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*