Dr Nur Ilyani tidak dikenakan tindakan tatatertib Tulisan doktor itu satu pandangan peribadi – Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad

www.malaysiakini.com

KOTA BHARU, 2 Zulhijjah 1439H, Selasa – Tiada sebarang tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi susulan isu surat terbukanya berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, tulisan pegawai perubatan itu merupakan pandangan peribadi beliau dan pihaknya mengambil perhatian.

“Perkara itu di bawah perhatian saya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

“Itu adalah pandangan peribadi dan beliau masih boleh bertugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu, hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Dr Nur Ilyani yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II menulis surat terbuka, mempersoalkan hak-hak yang dituntut oleh golongan LGBT.

Dr Nur Ilyani berpandangan beliau tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

“Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

“Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

“Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?” tulisnya.

Susulan itu, beliau dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

sumber; www.malaysiakini.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*