Ekoran KKM haramkan Jus Sunnah; Rasulullah Melarang Percampuran Bahan Tertentu

Dr Ahmad Sanusi

1. Kementerian Kesihatan baru-baru ini telah mengharamkan penjualan Jus Sunnah yang dikatakan mengandungi bahan yang memudaratkan. Ini adalah suatu yang jelas di dalam agama, bahawa segala yang memudaratkan itu harus dielakkan.

2. Dalam kaedah pemakanan, Rasulullah pernah melarang pencampuran beberapa bahan makanan sekalipun pada asasnya ianya adalah sebahagian dari makanan sunnah. Sebagai contoh, Rasulullah melarang percampuran (jus) antara kurma dan kismis atau busr (kurma muda) dengan rutab (kurma basah).

3. Perkara ini direkodkan di dalam Sahih Muslim yang menyebutkan:

نَهَى أَنْ يُخْلَطَ الزَّبِيبُ وَالتَّمْرُ، وَالْبُسْرُ وَالتَّمْرُ

“Rasulullah melarang mencampurkan kismis dengan kurma, (dan) al-busr (kurma muda) dengan tamar.

4. Menurut al-Imam al-Nawawi, larangan mencampurkan dua unsur ini adalah kerana ia membawa kepada menghasilkan sesuatu yang memabukkan. Pandangan ini dipersetujui oleh beberapa Imam lain termasuklah al-Bayhaqi dan al-Qurtubi.

al-Imam al-Sarakhsi dan al-Tahawi pula berpandangan bahawa larangan tersebut adalah bagi mengelakkan pembaziran atau penggunaan bahan yang berlebihan.

5. Menurut al-Imam Malik, larangan ini hanyalah menunjukkan bahawa percampuran itu adalah perkara yang makruh sahaja. al-Imam Abu Hanifah pula berpandangan, larangan ini bukanlah sesuatu pengharaman, tetapi lebih kepada mencegah daripada sesuatu keburukan. Beliau berhujjah dengan hadith lain yang menceritakan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidina Ibn Umar pernah mencampurkan kurma dan kismis dalam makanan atau minuman mereka.

6. Penyelidikan moden pula mendapati, proses percampuran ini (mixing process) ini seakan melanggar nasihat Rasulullah dari satu aspek, bahkan merosakkan elemen kandungan bahan tersebut dari aspek yang lain.

Lihat: http://repository.um.edu.my/105968/

7. Benar, kita semua dianjurkan untuk mengikuti tatacara pemakanan Rasulullah. Namun semuanya mestilah mengikuti panduan yang digariskan oleh Rasulullah sendiri. Sekiranya makanan tersebut menghasilkan sesuatu yang memudaratkan, maka sudah pasti ia seharusnya dijauhi.

sunnah; Dr Ahmad Sanusi