Hanya Mampu Lihat Rumah Diselongkar 3 Penyamun

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri menjadi saksi melihat sendiri rumah mereka diselongkar tiga penjenayah kemudian melarikan sebuah kereta jenis Suzuki Swift dan pelbagai barangan berharga di Kampung Becah, Tanjong Mas, di sini, Khamis lalu.

Lelaki berusia 43 tahun dan isterinya itu bagaimanapun, hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan kejadian selama sejam tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pasangan itu sedang tidur di bilik utama menyedari rumah mereka dimasuki perompak kerana terdengar bunyi bising.

“Mereka lihat tiga suspek masuk ke dalam rumah dengan memotong jeriji tingkap di ruang tamu dan pagar belakang rumah pada jam 4.45 pagi.

“Sebaik berjaya masuk, mereka menyelongkar rumah dan bilik anak-anak pasangan itu yang tidak berkunci. Akibat ketakutan suami isteri ini tidak keluar dan hanya memerhati melalui tingkap bilik mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pasangan terbabit kemudiannya segera menghubungi polis kerana bimbang keselamatan anak yang sedang tidur di dalam bilik yang dimasuki perompak.

“Sejam kemudian ketiga-tiga suspek yang selesai menyelongkar ruang tamu dan bilik anak-anak mangsa dilihat keluar pada jam 5.40 pagi.

“Selepas keadaan selamat, mangsa keluar dari bilik dan mendapati kereta Suzuki Swift mangsa, sebuah telefon bimbit jenis Iphone 4 dan tabung duit syiling anaknya serta serangkai kunci rumah lesap dilarikan penjenayah,” katanya.

Ismail berkata, rumah mangsa dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), namun penelitian pihak polis ke atas rakaman itu hanya melihat kelibat dua lelaki dari jauh yang masuk melalui pagar kecil di tepi rumah mangsa.

“Kami sedang menjejaki suspek dan meminta kerjasama awam sekirannya tahu tentang ketiga-ketiga lelaki terbabit dan salurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan mencuri,” katanya. Rakaman CCTV berdurasi seminit 37 saat memaparkan gelagat tiga lelaki memecah masuk rumah berkenaan tular di laman sosial Facebook sejak malam kelmarin.

sumber;

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*