Hatta, Perunding Kaunseling Keluarga Pun Tak Tahan Sebak; ‘Diam Suami Mendiamkan Isteri’

Asma Binti Harun Jakim

Pasangan ini masuk dengan wajah yang kelat, saya memberi salam, dipersilakan keduanya duduk lalu dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah.

“Baiklah, boleh sesiapa yang mulakan, saya bersedia untuk mendengar dan membantu sebaik mungkin”.

Si isteri membetulkan duduk, dilihat sangat bersedia untuk meluahkan yang terbuku, sememangnya si isteri yang membuat aduan dan menantikan tarikh temujanji ini.

“Baiklah ustazah, saya akan mulakan, jika nak tunggu suami saya memang tak menjadi apa-apa perbincangan kita ni”.

Si suami hanya diam dan mula tunduk. Nampak letih, lelah dan seperti pasrah sahaja.

“Ustazah, saya tahu saya bukan isteri yang baik sangat, tapi suami saya ni…. saya cuma harapkan…. bukan banyak pun… lagipun memang tanggungjawab dia kut…. dah banyak saya korbankan…. saya bukan tak ikhlas…. tapi… bla..bla..bla..”

Saya biarkan dalam 20 minit si isteri meluahkan sambil menjeling melihat si suami. Pandangannya kosong. Mungkin skrip yang sama dah diulang beribu kali. Kasihan pun ada.

“Ok puan, saya kira dah lama puan pendam dan puan memang seorang yang kuat dan sabar”,  mulut si isteri sedikit terbuka seperti ingin menyambung lagi, cepat-cepat saya memotongnya, “baiklah saya nak dengar di pihak suami puan pula, silakan encik untuk mengatakan sesuatu”.

Si suami angkat muka, diam sekejap, lalu dengan jawapan ringkas “saya tak ada apa-apa yang nak dikatakan ustazah”.

“Itulah dia ustazah, macam tu lah dia, susah nak bincang, asyik tak ada apa-apa, jadi kalau begitu memang betullah apa yang saya cakap, dia lah yang kena berubah kan ustazah, bukan saya”.

Aduh, laju sekali isterinya membidas. Si Suami menghela nafas berat dengan sekali hembus sambil menggeleng perlahan.

Saya hulurkan kertas A4 dan sebatang pen untuk setiap orang.

“Baiklah, saya mohon encik dan puan senaraikan, apakah yang kita tidak suka dan apakah perubahan yang diharapkan daripada pasangan, kemudian tulis juga kebaikan pasangan kita. Mungkin dengan cara ini kita boleh luahkan dengan lebih baik tanpa emosi, saya mohon fikirkan dulu sebelum tulis”.

Saya beri keduanya masa. Si isteri menulis dengan laju, beberapa minit dah penuh muka surat depan lalu meminta izin untuk menyambungnya di m/s belakang. Manakala si suami, memintal-mintal mata pen di kertas. Beberapa kali cuba untuk menulis kemudian dibatalkan. seperti menimbang-nimbang sesuatu.

“Ustazah, inilah sahaja daripada saya. Saya harap suami boleh terima seadanya, inilah luahan ikhlas daripada hati saya”.

Dua muka surat penuh. Sengaja saya tidak menghulurkan lagi kertas tambahan, bimbang disambutnya. Dan ternyata kertas si suaminya hanya ada tulisan,

Abang mohon daripada sayang… (namun tulisan itu dipotong).

Itu sahaja!

“Maaf, kenapa tuan tidak menulis apa-apa?”

Kedua tapak tangannya menyapu wajah lalu disatukan keduanya, dengan nafas yang dalam si suami menyusun kata,

“Ustazah, kami dah hidup 18 tahun bersama, dikurniakan 4 orang anak dan saya sangat mengenali baik buruk isteri saya ini. Kerana itu, bila mengenangkan KEBAIKANNYA yang banyak, saya tak mampu nak tulis walaupun SATU keburukan atau kelemahannya, maaf SAYA TAK AKAN TULIS !”.

Allahuakbar. Saya terpana. Isterinya di sebelah TERDIAM seribu bahasa, perlahan-lahan air matanya mengalir. Suasana sepi. Si isteri seperti ingin mengatakan sesuatu, tapi mulutnya terkunci. Saya minta izin untuk keluar sebentar. Saya tahu mereka perlukan ruang. Dari luar saya nampak si isteri memegang tangan suaminya seperti memohon kemaafan, si suami meletakkan tangannya di kepala isterinya. Tapi keduanya masih DIAM.

………………………….

Duhai para isteri,

Fahamilah ini,
DIAM Suami mu bukan semata kerana dia TIDAK PEDULI,

Dia tahu hatimu rapuh,
Untuk menerima walau satu keluh,
Bimbang hati kau akan luluh,
Lalu lidahmu tajam tanpa bersuluh,

Duhai para isteri, ingat sungguh ingatan ini,

Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

…….

Muhasabah bersama. Catatan pengalaman.

Asma’ binti Harun
Ex Perundingcara Rumahtangga.
23 Julai 2018

Silakan share.

sumber; Asma Binti Harun

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*