JANGAN KURANG AJAR DENGAN 4 NEGERI PENGELUAR MINYAK – Pensyarah UKM

Abdul Muein Abadi

1. Sungguh biadap sekali sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menganggap negeri Terengganu, Kelantan, Sabah, dan Sarawak ibarat ‘Pengemis’ kerana berusaha mendapatkan hak royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan yang dikuasai PH hari ini.

Sikap penyokong Pakatan ini bertentangan dengan pemimpin tertinggi Pakatan sendiri seperti Tun Mahathir yang jelas sekali mengisytiharkan komitmen kerajaan pusat untuk menyalurkan royalti secara terus kepada kesemua negeri pengeluar minyak selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.

2. Terbaru, tindakan empat parti bekas Barisan Nasional (BN) Sarawak menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah dikecam hebat seolah-olah mereka cuba mengemis simpati royalti petroleum daripada Pusat. Sebelum ini, tindakan Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang melakukan kunjungan mesra ke pejabat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir juga telah dikecam sedemikian.

Begitu juga dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yaakob yang seringkali diputar belit. Ketua Menteri Sabah Datuk Shafie Apdal tidak ketinggalan dikritik kerana tetap menuntut 20 peratus royalti seperti mana dalam manifesto PRU14 Pakatan.

3. Ibarat ‘lebih sudu daripada kuah’, segelintir penyokong Pakatan ini mendakwa bahawa kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Terengganu, dan Kelantan ‘terhutang budi’ dengan Manifesto Pakatan dalam Buku Harapan menjelang PRU-14 yang lalu. Hujah mereka bersandarkan Janji 3 Buku Harapan, halaman 21:

‘Negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan. Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri’.

4. Memang benar kesemua negeri pengeluar perlu berterima kasih kepada kepimpinan Pakatan kerana mengotakan janji mereka berkenaan royalti ini. Namun hakikatnya, penyokong Pakatan perlu sedar bahawa pemberian royalti kepada kerajaan negeri pengeluar secara terus ini telah termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 lagi.

Akta berkenaan memberi kuasa pengeksplorasian dan pengeksploitasian petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai kepada satu perbadanan iaitu Petronas di mana Petronas pula akan membayar sebanyak 5 peratus daripada pendapatan minyak kepada negeri-negeri yang berkenaan seperti yang termaktub dalam Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian yang ditandatangani kesemua kerajaan negeri di bawah Akta tersebut jelas mengarahkan Petronas membuat pembayaran setiap enam bulan sekali iaitu pada Mac dan September setiap tahun (Akta 144) (4).

5. Dalam kes Terengganu pula, Tun Mahathir sendiri mengaku bahawa beliau bertanggungjawab menyekat pembayaran royalti berkenaan kepada kerajaan negeri apabila PAS menguasai Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1999. Pengakuan ini tercatat dalam memoir beliau ‘Doktor Umum’ halaman 856, Bab 56: Pilihan Raya Paling Sukar:

“Pada waktu itu dan sehingga sekarang, Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan kerajaan negeri memperoleh lima peratus daripada hasilnya yang berjumlah hampir RM1 bilion setahun. Kita tahu kalau kerajaan baru PAS mendapat wang itu sudah pasti mereka akan menggunakannya untuk mempertingkatkan populariti dan memperluaskan perjuangan mereka. Oleh itu, satu cara perlu dicari bagi menyekat mereka daripada memperoleh dana tersebut”.

Image result for tuntutan royalti sarawak

6. Kajian PhD oleh Hussain Yusri, iaitu murid Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusof di UKM, dalam artikel beliau bertajuk ‘The Implications of Petroleum Conflict’ dalam jurnal ‘International Journal of Academic Research in Business & Social Sciences’ jelas membuktikan pencabulan ini. Kenyataan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein ketika menjawab pertanyaan YB Petaling Timur ketika itu Lim Kit Siang di Parlimen dirujuk seperti berikut:

“mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut” (Dewan Rakyat, 15 November 1974).

7. Pastinya, pemberian royalti secara terus ini bakal memberi limpahan yang positif buat ekonomi keempat-empat kerajaan negeri berkenaan. Kerajaan PAS Terengganu sebagai contoh, kini mula menggerakkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menyasarkan penjanaan pendapatan kerajaan melebihi RM1 bilion setiap tahun.

Maka dengan gabungan PITAS 2030 dan hasil royalti petroleum yang memungkinkan pendapatan sebesar RM2 bilion setahun, pelbagai pelan pembangunan negeri boleh dijayakan seperti pemerkasaan dasar yang menyasarkan peningkatan kualiti hidup rakyat, Pemulihan produk pelancongan, pemerkasaan industri maritim, gas dan petroleum.

8. Demikian juga, Impak royalti petroleum yang bakal disalurkan terus kepada kerajaan negeri Kelantan bakal menjadi ‘game-changer’ dalam pembangunan negeri tersebut. Seperti mana kenyataan bekas EXCO kerajaan negeri Kelantan sebelum ini iaitu Husam Musa, kerajaan Kelantan dianggarkan telah dinafikan pembayaran hampir sebesar RM13 bilion daripada hasil royalti yang sepatutnya mereka perolehi sejak 2004 daripada Barisan Nasional.

9. Turut menerima impak positif pastinya usaha mengekang kemaraan gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang digemakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tiada siapa mampu menafikan sumbangan ekonomi Sabah dan Sarawak yang penting buat perkongsian bersama Semenanjung. Sarawak ialah negeri penyumbang KDNK ketiga terbesar di Malaysia dengan 10 peratus manakala Sabah pula ialah negeri penyumbang KDNK kelima terbesar dengan 6.6 peratus.

10. Oleh hal yang demikian, kewujudan Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang baru dibentuk hasil gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu dilihat positif dalam memperkasakan suara rakyat Borneo dan dalam masa yang sama mengekang gerakan pemisah (separatist).

11. Maka langkah Tun Mahathir hari ini perlu diterima sebagai pembetulan kepada kesalahan beliau menyekat pembayaran royalti dahulu – khususnya dalam kes kerajaan PAS Terengganu. Demikian juga penafian pembayaran royalti yang berjumlah hampir RM13 bilion kepada kerajaan PAS Kelantan oleh BN sejak 2004.

Hak Sabah untuk berusaha mendapatkan 20 peratus seperti mana terkandung dalam Manifesto Pakatan juga perlu dihormati, seperti mana juga tindakan pemimpin Sarawak menubuhkan GPS dalam melindungi kepentingan negeri mereka. Ringkasnya segelintir penyokong Pakatan perlu menyelidiki fakta secara lebih mendalam sebelum secara angkuh mempersoalkan agihan royalti secara langsung kepada keempat-empat kerajaan negeri ‘OPEC’ Malaysia ini.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

sumber; Abdul Muein Abadi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*