Ketahuilah bahawa bukan semua alkohol itu H@RAM & tak boleh dimakan…

Bahagian Hab Halal, JAKIM

Ketahui perbezaan antara ALKOHOL dan ARAK dan sejauhmana ianya boleh digunakan dari aspek Pensijilan Halal.

a) Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol adalah arak. Hukum bagi alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak adalah haram dan najis.

b) Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum dalam bentuk asli kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

c) Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah 1 peratus adalah harus (boleh) diminum.

d) Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

e) Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum.

f) Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak lebih 0.5 peratus.

g) Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Sumber:- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia

kredit link; Bahagian Hab Halal, JAKIM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*