Malaysia jadi tumpuan PATI, hinggakan warga Britain pun cari makan secara haram di negara ini.

Jurutera haram

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Pontian: Gaji bulanan lumayan mencecah puluhan ribu ringgit mendorong empat jurutera warga Britain memilih jalan singkat dengan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Pasir Gudang sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatan mereka membawa padah apabila masing-masing didenda RM900 di Mahkamah Sesyen Imigresen Pekan Nenas, di sini, semalam.

Tertuduh Paul Leslie Smith, 56, Daryl Latham, 52, Stephen Jack, 58, dan Anthony Dixon, 52, mengaku salah atas dakwaan menyalahgunakan pas lawatan sosial ketika bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang pada jam 11.30 pagi, 8 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 39 peraturan sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan, denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Salawati D’Jambri menjatuhi hukuman denda RM900 terhadap setiap warga Britain berkenaan atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Norhasimah Othman, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam John Fernandez.

Difahamkan, semua lelaki berkenaan akan dihantar pulang ke negara asal selepas membayar denda masing-masing.

Mereka antara 43 warga asing didakwa atas pelbagai kesalahan mengikut peraturan imigresen terdiri daripada enam perempuan dan 37 lelaki warga Britain, Indonesia, Vietnam, Bangladesh, Myanmar serta Nepal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 4:34 AM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*