MB Pahang – Kerajaan Negeri Masih Fikir Mengenai Peruntukan Kepada Adun Pembangkang

Berita TV9

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional itu masih memikirkan samada akan memberi peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti lain atau tidak.

Jelasnya, keputusan itu akan dibuat selepas mengambil kira keadaan kedudukan kewangan negeri.

Sebelum ini, beberapa negeri yang dipimpin Pakatan Harapan mengiktiraf peranan pembangkang dengan memberi peruntukan kepada semua ADUN.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meraikan hampir 2,000 pelajar dan kakitangan University College of Yayasan Pahang (UCYP) dalam satu majlis berbuka puasa.

Sementara itu, ujarnya, jawatan Pengerusi UCYP yang disandang mantan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob akan ditugaskan kepadanya dalam masa terdekat.

Katanya, jawatan itu akan diberikan kepadanya dalam satu majlis serah tugas selepas Datuk Seri Adnan selesai dengan tugasnya yang masih belum terlaksana kelak.

Turut disampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar di kalangan golongan asnaf di institut itu.

Datuk Seri Wan Rosdy juga melancarkan Program Halaqah yang dijalankan bagi memastikan semua graduan UCYP celik Al-Quran.

Hadir sama ialah Naib Pengerusi UCYP Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob dan Pengarah Urusan UCYP Datuk Norhishamuddin Yaacob.

Program itu diserikan dengan tazkirah oleh penceramah bebas dari Lebanon, Al-Habib Syeikh Dr. Omar Muhammad Kalash As-Syafie.

Syeikh Dr. Omar juga mengetuai solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih.

sumber; Berita TV9

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*