PENTING; Kena BACA! Ada pihak yang ambil mudah penyebaran Bible; Ini sikap Rasulullah ﷺ terhadap Bible

Dr Ahmad Sanusi

1. Suatu hari Saidina Umar membawa helaian kitab terdahulu (dari Taurat atau Bible) yang beliau terimanya dari ahli kitab (Yahudi atau Nasrani). Lalu Umar membacanya di hadapan Rasulullah. Tindakan Umar itu mengundang sensitiviti Rasulullah sehingga menyebabkan Baginda marah lalu menegur Umar:

“أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَع‏”

“Apakah engkau terpesona dengannya wahai (Umar) Ibn al-Khattab? Demi jiwaku yang berada ditanganNya, sesungguhnya sekiranya Musa masih hidup, maka dia akan mengikuti aku.” (HR Ahmad, al-Nasa’i).

2. Perasan tak dalam hadith ini yang ditegur adalah Saidina Umar? Apakah iman Umar terlalu lemah sehingga membaca Bible atau Taurat pun dilarang oleh Rasulullah? Sudah tentu tidak! Tetapi kerana Baginda bersikap tegas dalam perkara ini supaya Muslim menumpukan fokus mereka kepada al-Quran. Sebarang tindakan yang melarikan tumpuan Muslim, bahkan meragukan Muslim dari al-Quran mestilah dijauhi.

3. Kebimbangan Rasulullah ini menjadi asas kepada sarjana Muslim dalam menentukan pendirian seseorang yang ingin membaca kitab terdahulu. Bagi al-Imam Ibn Hajar, orang awam yang tidak mahir dalam bidang ini haruslah menjauhkan diri dari membacanya. Kata beliau:

وَالْأَوْلَى فِي هَذِهِ الْمَسْأَلَةِ التَّفْرِقَةُ بَيْنَ مَنْ لَمْ يَتَمَكَّنْ وَيَصِرْ مِنَ الرَّاسِخِينَ فِي الْإِيمَانِ فَلَا يَجُوزُ لَهُ النَّظَرُ فِي شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ

“Dan (pendekatan) yang terbaik dalam perkara ini adalah dibezakan antara mereka yang tidak mahir dalam perkara ini, (iaitu) yang bukan dikalangan mereka yang tinggi dalam urusan keimanan, maka tidak harus bagi mereka melihat (membaca) sesuatu daripadanya (Taurat dan Bible).” (Fath al-Bari, 13/525)

4. Al-Imam al-Nawawi pula memberikan alasan yang lain. Menurut beliau, penyelewengan maklumat serta perubahan kandungan kitab- kitab terdahulu ini menjadi punca mengapa Muslim seharusnya mengelakkan diri dari membacanya. Kata beliau:

وكتب التّوراة والإِنجيل : ممّا يحرم الانتفاع به ، لأنّهم بدّلوا وغيّروا

“Dan kitab-kitab Taurat dan Injil, adalah sesuatu yang tidak boleh seseorang itu mendapat manfaat daripadanya kerana kandungannya telah diubah dan diseleweng” (Raudah al-Talibin, 10/259).

5. Di Malaysia pula, Perkara 11 (4) dalam perlembagaan Malaysia memberi peruntukan bahawa Undang-undang Negeri dan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

6. Dengan itu adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk meneliti, menyiasat serta bertindak sekiranya tindakan ini jelas melanggar perlembagaan negara. Bagi Muslim, panduan yang diberikan oleh Rasulullah adalah sebaik-baik pedoman.

Moga Allah memelihara Islam dan kaum Muslim.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

sumber; Dr Ahmad Sanusi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*