(Video) ALHAMDULILLAH. KEKECOHAN BERAKHIR; PPIM, PPJK Mohon Maaf Kepada Pekerja Trak Tunda

http://www.mynewshub.cc

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) memohon maaf atas penularan video di media sosial yang mendakwa kumpulan ‘longkai’ atau pekerja trak tunda mengambil kesempatan terhadap pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan atau kemalangan kenderaan.

Dalam sidang media yang diadakan di pejabat PPIM di Kuala Lumpur, hari ini, permohonan maaf itu dibuat dihadapan lebih 200 pekerja trak tunda yang hadir ke situ bagi mendapatkan penjelasan daripada NGO berkenaan.

Sidang media itu dihadiri Presiden PPJK, Mohamed Hisham Shafie; Penasihat Khas PPIM, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamad; Ketua Unit Tindakan Khas PPIM, Yusof Azmi; dan wakil komuniti trak tunda, Khairul Husni Othman.

Dalam sidang media itu, Mohamed Hisham mengakui bahawa maklumat yang disebarkan adalah salah termasuk kononnya pihak pekerja trak tunda memeras ugut dengan meminta bayaran ribuan ringgit kepada pemilik kenderaan.

Beliau mengakui ada beberapa fakta juga tidak dijelaskan dengan tepat berikutan caj yang dikenakan itu sebenarnya bergantung pada lokasi atau jarak kenderaan ditunda.

“Jadi, kami di PPJK menarik kembali segala kenyataan yang kami keluarkan dalam video petang semalam,” katanya.

Towing-kereta-di-Damansara-Selangor

Sementara itu, Abdul Kadir mengakui kenyataan bahawa pekerja trak tunda meminta RM1,200 adalah tidak benar sebaliknya dia hanya membayar RM500 kepada bengkel yang mengambil keretanya untuk dibaiki dan bukan kepada pekerja trak tunda itu.

“Sebenarnya, jumlah yang saya bayar adalah RM500 dan bukan RM1,200 seperti dinyatakan dalam video sebelum ini,” katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, perjumpaan yang diadakan antara persatuan dan wakil pekerja trak tunda bagi merungkai segala rasa tidak puas hati dan masalah yang berlaku sebelum ini.

“Kita bukan mahu mencetuskan ketegangan cuma inginkan penjelasan antara kedua-dua pihak seterusnya dapat mengelak timbulnya salah faham.

“Isu yang ada dibawa oleh orang ramai dapat diselesaikan secara bersama menerusi perbincangam dan perjumpaan ini akhirnya dapat kata sepakat selain tiada masalah berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Petang tadi, kira-kira 100 ‘longkai’ berkenaan berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan membuat dua laporan polis bagi menyangkal kenyataan dalam video yang tular di media sosial semalam.

Selepas membuat laporan polis, mereka beramai-ramai menuju pejabat PPIM bagi menuntut penjelasan. -HMETRO ONLINE

sumber; Zenice TV

Laporan awal;

SEGELINTIR TRAK TUNDA BERSIKAP KETERLALUAN – METRO ONLINE – 28/11/17

Artikel Oleh : Metro Online

Snapshot

Tajuk : LONGKAI MAKIN NAIK LEMAK

MEMAKSA mangsa kemalangan menurunkan tandatangan kebenaran, mengenakan caj yang tinggi serta mengugut untuk tidak memberikan apa-apa bantuan kecuali menerima upah.

Ia antara aduan mengenai sikap pemandu trak tunda atau longkai yang menimbulkan masalah kepada mangsa yang diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang semakin meningkat sejak awal tahun lalu.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa akan didatangi segelintir individu mahu pun berkumpulan yang lebih dikenali sebagai longkai bersikap agak keterlaluan dengan memberi penjelasan kurang jelas serta meletakkan syarat ‘sendiri’.

“Kita terima banyak aduan dan ia satu kegiatan yang amat ketara dari segi menekan pengguna. Walaupun mangsa tidak menghubungi longkai itu, mereka akan bersikap keterlaluan dan memaksa mangsa untuk mengaut keuntungan bagi satu-satu tuntutan kemalangan.
“Pemandu dan pemilik akan dipaksa untuk menandatangani surat kuasa kepada mereka bagi menunda kenderaan sehingga ke balai polis seterusnya ke bengkel,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hadir sama Penasihat Khas PPIM Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed dan Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie.

Nadzim berkata, terdapat kes di mana pemandu atau mangsa kemalangan yang berubah fikiran untuk tidak berurusan dengan sesuatu bengkel, dipaksa membuat bayaran yang tidak munasabah mencecah ribuan ringgit.

Lebih mengejutkan katanya, PPJK pernah menerima beberapa aduan yang membabitkan perebutan di antara longkai untuk menunda kenderaan yang terbabit kemalangan dengan mendakwa bahawa mereka sampai awal dan berhak ke atas kereta itu menyebabkan mangsa tidak boleh berurusan dengan bengkel lain.

“Ada di antara mereka bertindak seperti samseng dan memaksa mangsa. Malahan, ada juga kes yang membabitkan pergaduhan antara pesaing longkai itu sendiri.

“Mereka bertindak agresif serta menganggap pesaing yang tiba di lokasi kemalangan yang sama pada waktu sama menceroboh kawasan longkai terawal yang tiba di lokasi terbabit,” katanya.

Justeru PPIM menggesa tindakan segera diambil pihak berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa dengan tindakan longkai yang ingin mengaut untung mudah.

sumber; http://www.ppim.org.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*