PPIM SASAR GEMPUR SKIM PELABURAN HARAM PULA – UTUSAN MALAYSIA – 26/10/17

ppim

KUALA LUMPUR 25 Okt.  – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan gerakan bagi menggempur dan membanteras kegiatan pelaburan haram yang semakin berleluasa sehingga begitu ramai menjadi mangsa penipuan sindiket sedemikian.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM akan berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara, pakar atau perunding kewangan, pelaburan, pihak berkuasa polis dan peguam bagi membantu mangsa dan orang ramai dalam menangani masalah pelaburan haram ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera sebarang bentuk aktiviti penipuan pelaburan ke Unit Pencegahan Penipuan (UPP) yang baharu dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

Nadzim berkata, penubuhan UPP ini sebagai pusat rujukan kepada orang ramai supaya mereka tidak tertipu sehingga mengalami kerugian yang teruk.

“Dengan UPP ini kita mempunyai pelan tindakan termasuk menerima aduan atau maklumat, mengadakan perjumpaan bersama pengadu, membuat semakan, mengadakan perjumpaan bersama pihak terlibat atau pemilik syarikat pelaburan.

“Makluman kepada umum mengenai kegiatan penipuan termasuk senarai hitam syarikat dan nasihat dan tindakan yang perlu diambil oleh mangsa atau pengadu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, PPIM memandang serius mengenai kegiatan pelaburan haram yang didapati semakin berleluasa sama ada dalam bentuk internet dan penubuhan syarikat-syarikat.

“Malahan pada masa ini, PPIM telah menerima lebih daripada 30,000 aduan mangsa pelaburan haram dan penubuhan UPP ini penting supaya jangan ada lagi yang menjadi mangsa.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya namun kita mahu supaya orang ramai berhenti serta-merta daripada melaburkan wang simpanan mereka dalam skim-skim yang berselindung di sebalik nama dan kaedah-kaedah pelaburan yang mencurigakan dan menipu,”katanya.

Malah katanya, terdapat syarikat yang menyediakan surat-surat perjanjian dan kontrak yang bersetem yang kononnya membenarkan transaksi dan mematuhi undang-undang.

“Sedangkan semua surat itu sebenarnya untuk membenarkan mereka menipu. Ini kerana kebanyakan syarikat tidak mempunyai kebenaran dari Bank Negara untuk mengambil deposit daripada orang lain,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Bank Negara ada mengeluarkan senarai nama syarikat-syarikat yang dikenal pasti melakukan pelaburan haram namun terdapat banyak lagi syarikat dan invidu yang menjadi dalang aktiviti haram ini.

“Mereka hanya perlu menukar nama dan mengubah sedikit modus operandi dan kaedah pelaburan untuk tujuan menipu,”katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya menghubungi UPP di talian 01111181000 mengenai sebarang aktiviti pelaburan haram sebelum mereka menjadi mangsa.

“Orang kita mudah sangat tertipu, kadang kala bukan pisang berbuah dua kali tetapi sudah berkali-kali tetapi tidak pernah serik-serik untuk melaburkan duit simpanan mereka terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tidak sahaja kononnya untuk mendapat keuntungan pelaburan berkali-kali ganda malah tawaran untuk membeli rumah yang lebih rendah dari harga pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*