Rakyat akan ikut ‘agama’ pemerintah…

Salehuddin Bin Abu Samah

RAKYAT AKAN TERPENGARUH DAN MENGIKUT AGAMA SERTA CARA HIDUP PEMERINTAH MEREKA

Al-Imam al-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah menukilkan di dalam kitabnya al-Bidayah wa an-Nihayah :

Adalah Khalifah al-Walid, keutamaannya pada membina bangunan yang hebat, maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Apabila mereka bertemu, mereka saling bertanya : “Apa yang telah kamu bina?…apakah yang telah kamu bangunkan?”

Manakala saudaranya Khalifah Sulaiman, kecenderungannya kepada perempuan maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Apabila mereka bertemu, mereka saling bertanya : “Kamu sudah berkahwin dengan berapa orang perempuan?…kamu sudah memiliki berapa orang hamba perempuan?”

Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pula fokusnya kepada al-Quran, Solat dan ibadah kepada Allah Taala, maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Apabila mereka bertemu, mereka saling bertanya : “Berapa banyakkah wirid dan zikirmu?….berapa banyak yang telah kamu baca al-Quran?….solat sunat apakah yang telah engkau lakukan semalam?”

Orang ramai biasa menyebut bahawa rakyat sesebuah negara akan terpengaruh dan mengikut agama serta cara hidup pemerintah mereka.

Jika pemerintah tersebut dari kalangan peminum arak, maka akan muncul ramainya peminum ar@k. Jika wujud di kalangan mereka golongan pengikut kaum Nabi Lut, maka begitulah juga keadaannya.

Jika pemerintah tersebut dari kalangan mereka yang sangat mengambil berat tentang rakyatnya, maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Jika pemerintah tersebut dari kalangan mereka yang pemurah, mulia dan berani maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Jika pemerintah tersebut dari kalangan mereka yang tam@k, zal1m dan beng1s maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Jika pemerintah tersebut dari kalangan mereka yang berpegang teguh dengan Islam, bertaqwa, suka berbuat baik dan kasihan belas kepada rakyatnya maka begitulah juga keadaan rakyatnya.

Perkara ini wujud pada setengah-setengah zaman dan berlaku pada setengah-setengah individu. Allah sahajalah yang lebih mengetahuinya.

“Ya Allah, perbaikilah keadaan para pemimpin kami dan mereka yang menjadi pemerintah kami serta selamatkanlah negara kami daripada dipimpin oleh golongan yang fas1q dan tiada rasa gerrun kepada-Mu.”

Sumber; Salehuddin Bin Abu Samah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*