SANTUNI IBU AYAHMU SEDAYA UPAYA BAHAGIAKAN MEREKA SELAGI ADA

Asma Binti Harun

Sedikit muhasabah untuk kita, ambil peluang cuti sekolah dan cuti Eidul Adha ini, pulanglah ke kampung halaman walaupun sekejap. Salam peluk dan ambil sebanyaknya masa untuk memandang wajah IBU BAPA kita, itulah sumber pahala yang paling utama. BERBAHAGIALAH mereka yang MEMBAHAGIAKAN ORANG TUA di dunia dan akhirat.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda:

“Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” – (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan “Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud).

Sebuah kisah buat renungan bersama…

“Kak zura, takziah atas pemergian ibu tercinta, pemergian yang cukup indah di pagi subuh hari jumaat”

“Ustazah, kesedihan kami dibalut bahagia dengan cara terindah ibu kami pergi, ketika dimandikan, saat dibalik – balikan badannya, ada cahaya daripada jasadnya, juga wajahnya. Saya diam sahaja, tapi setelah selesai rupanya semua yang menguruskan melihat perkara yang sama, wallahuaklam ustazah benar atau tidak, mungkin perasaan kami sahaja..”

“Boleh kongsi siapa dan apakah amalan ibu kak zura?”

Rahsia ibu… 

“Ibu saya orang biasa sahaja, orang kampung, suri rumah, kadang ikut ayah pergi menoreh getah, seorang ibu yang sangat sibuk menguruskan 10 orang anak, kami rapat-rapat”

“Apa yang paling jelas dalam ingatan kami anak-anak, Ibu sangat rapat dengan alQuran, tangannya sentiasa pegang alQuran, lidahnya lebih banyak menuturkan alQuran, sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali emak akan khatam Quran setiap bulan hingga umurnya dah cecah 70 tahun, mata dan telinganya masih jelas”

“Sehingga kami rasa emak dah hafal alQuran, kerana setiap kali kami baca Quran dimana-mana ayat, jika ada silap emak boleh betulkan dan bacakan, sambil dia menyapu, basuh pinggan dan buat kerja-kerjanya”

“Dia menguruskan kami dengan tenang dan sabar, tak pernah kami dengar suaranya yang tinggi walaupun dia sedang marah, perangai kami anak-anak banyak juga menyakiti hatinya”

Allahu Akbar!

Eidulfitri pertama tanpa ibu…

“Ustazah, eidulfitri kali ini kami tak tahu bagaimana suasananya, ianya sangat berbeza untuk kami”

“iya saya faham… Sudah tentu”

“Ustazah, bukan kerana ketiadaannya semata-mata, kami suami isteri tidak pernah membawa anak-anak berjalan ke mana-mana selain daripada rumah nenek mereka”

“Maksud kak zura? ”

“Seperti ustazah maklum, hampir setiap minggu kami balik ke kedah, seremban ke kedah kadang-kadang seperti rumah emak belakang dapur kami sahaja, jika sakit demam terus kami balik, tak boleh hanya telefon”

“Walaupun kami sentiasa melintasi banyak tempat untuk bawa 5 orang anak kami jalan-jalan, contohnya cameron highland, zoo taiping dll. Tapi seumur hidup, mereka tak pernah ke tempat begitu”

Saya rasa tak puas hati, lalu menyebutkan beberapa tempat jalan-jalan makan angin yang dekat-dekat kawasan sekitar.

Kak zura pegang tangan saya.. “tak ustazah, tempat terbaik untuk kami jalan-jalan adalah rumah Emak, bahkan setiap kali cuti sekolah mereka juga tak minta ke mana-mana, selain daripada rumah nenek mereka”

“Ustazah, setiap kali kami balik beraya atau cuti panjang, kami tidak akan keluar daripada rumah emak melainkan emak ada ikut bersama, walaupun untuk ke pasaraya dan lain-lain. Pernah satu kali Eidul Fitri, ketika itu emak kurang sihat, jadi kami semua juga tak ke mana-mana sehingga ada saudara mara kecik hati dengan kami”

“Kenapa begitu kak zura?” saya teringat bila tiap kali pulang ke Terengganu, kami ambil kesempatan juga bawa anak jalan-jalan, ke tepi pantai ke, makan-makan, mencari barang, ziarah jumpa kawan dan lain-lain.

“Ustazah, Bagi kami rasa berdosa bila balik kampung untuk tujuan ziarah emak ayah, tapi bila sampai buat perkara lain, bahkan perkara lain lebih banyak daripada meluangkan masa dengan emak dan ayah. Contohnya sibuk dengan handphone, dengan tv, keluar beraya pagi balik dah petang, jumpa kawan-kawan dll. Betul kadang-kadang emak sendiri suruh keluar, tapi bagi kami tidak ada ertinya jika emak tak ada bersama. Mungkin bagi sesetengah orang bawa orang tua untuk ke mana-mana agak menyukarkan, tapi bagi kami itulah saat yang paling berharga dan bahagia”

“SubhanAllah.. Hebatnya kak zura dan suami menyantuni orang tua..”

“Ustazah, jangan lihat hebatnya kami selaku anak, tapi lihatlah dalamnya bekas dan kesan didikan emak terhadap kami,

“Dia sangat menjaga hati kami sehingga kami tak mampu nak melukakan hatinya”

“Dia mengutamakan kami saat senang atau susah, sihat atau sakit, penat atau rehat. Kami sesekali tidak akan membiarkan emak melalui masanya tanpa kami”

“Emak yang mengajarkan kami erti kemuliaan seorang ibu apabila dia merendahkan dirinya meminta maaf daripada kami akan kekurangannya sebagai seorang ibu, sedang dia ibu yang sempurna”

Disebutkan dalam shahîhaian dari ‘Abdullâh bin Mas’ûd, ia berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Aku bertanya kepada Nabi; “Amalan apakah yang paling utama?” Beliau menjawab,”Shalat pada waktunya.” Aku bertanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab,”Berbakti kepada kedua orang tua.” Aku bertanya lagi: ”Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab,”Berjihad di jalan Allah.”

Sahabat semua, hargai ibu dan ayah, satu hari kita akan sangat rindu untuk memegang mencium tangan dan wajahnya, terlalu rindu untuk mendengar suaranya.. Terlalu!

Jangan kita menjadi penyesal yang menghitung sesal kerana kita sedar saat terlambat.

Jadikan EIDULFITRI ini waktu paling BAHAGIA buat MEREKA, bukan buat kita semata.

*Kisah benar dengan sedikit suntingan

sumber; Asma Binti Harun

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*