SENI BERDOA AGAR MUDAH DITERIMA ALLAH

Malam tadi (27 November 2012) mengajar surah awal Maryam (ayat 1-11). Antara pengajaran menarik adalah kisah doa nabi Zakariyya AS kepada Allah memohon anak. Firman Allah:

إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)

Ertinya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan [3].

Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu [4].

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki [5].

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai [6]” (Maryam[19:3-6]).

 

TERDAPAT BEBERAPA RAHSIA MENGAPA DOA BAGINDA DITERIMA, IAITU:

1) Baginda berdoa dengan suara yang lembut yang jelas menunjukkan kerendahan hati (ayat 3).

* Dalam ayat lain Allah mengarahkan doa dibuat secara perlahan:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Ertinya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf[7:55]).

Juga firmanNya:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Ertinya: Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai (al-A’raf[7:205]).

2) Baginda mengakui kelemahan diri yang sudah tua, lemah dan beruban(ayat 4).

* Sikap ini juga digunakan nabi Adam dalam doa taubatnya:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Ertinya: Mereka berdua (Adam dan Hawwa’) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi” (al-A’raf[7:23]).

*Ia juga sikap nabi Yunus:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri” (al-Anbiya’[21:87]).

*Juga sikap nabi Musa ketika berdoa setelah melarikan diri dari Mesir tanpa apa-apa bekalan makanan:

فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Ertinya: Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan” (al-Qasas[28:24]).

3) Baginda memuji Allah yang tidak pernah menghampakan doanya sebelum itu (ayat 4).

4) Baginda mengutamakan kepentingan agama mengatasi kepentingan dirinya sendiri. Baginda mengharapkan anak yang bakal menjaga urusan agama keluarganya yang dibimbangi terhakis selepas kematian baginda (ayat 5).

*Ia sama seperti sikap nabi Isa AS yang mengutamakan aspek agama mengatasi soal duniawi dalam doanya kepada Allah ketika memohon hidangan dari langit:

قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki” (al-Ma’idah[5:14]).

* Juga doa nabi Ibrahim semasa meninggalkan Hajar dan Isma’il di lembah kontang Mekah:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ertinya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim[14:37]).

KESIMPULANNYA: Seni berdoa amat penting bagi memudahkan penerimaan Allah. Antara yang diajar oleh al-Quran adalah merendah diri dengan segala kelemahan, memuji serta mengagungkan Allah dan mengutamakan kepentingan agama mengatasi kehendak sendiri. Contohnya ialah: Ya Allah! Selamatkan perjalananku pulang ke kampong halaman, tujuanku adalah INGIN MENGHUBUNG SILATURAHIM yang Engkau arahkan!

ihsan ; Hamba Allah & Al-Quran

# Peringatan ikhlas & penting dari meja admin;

Terima kasih kerana anda telah sudi meluangkan masa melawat page kami ini sebagai tanda sokongan moral di atas usaha pihak kami untuk berkongsi ilmu demi kebaikan semua. Jika anda berminat untuk terus membaca artikel @ rencana daripada page ini, sila pastikan anda telah like page sepatuputih. Sokongan anda amat dihargai.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*