SYAHDUNYA; Nukilan Perpisahan Buat Abi Tersayang… (ditulis oleh anak Allahyarham Ustaz Azli Musa)

Ahmad Syakir Norazli

“Akir, jangan macam itu”
“Akir, kenapa buat macam tu”
“Akir, kena buat macam ini”

Demi Tuhan belum masih cukup aku belajar dan dididik oleh abi. Masih belum puas rasanya aku berbakti berbuat ihsan pada abi. Banyak perkara lagi yang aku perlu belajar. Mahu belajar. Berpisah dari keluarga sejak di bangku menengah benar benar mengusik perasaan kesal dan rasa masih belum cukup berbakti. Baru sahaja haritu aku berbual dengan rakan rakan tentang ke mana hala tuju kami selesai belajar, dengan selamba aku menjawab,

“Aku nak kerja dekat perak sahaja nanti. Cukuplah dulu berjauhan dengan keluarga. Ini masa untuk aku balas dan berbakti pada Umi dan Abi”

Demi Tuhan, Abi merupakan insan yang luar biasa. Semangat dan kesungguhannya dalam dakwah dan perjuangannya sedikitpun tidak mengabaikan kami ahli keluarga. Makan minum kami, segala kelengkapan kami sentiasa diambil kira biarpun kadang kadang abi terpaksa outstation 3-4 hari ceramah sana sini atau mengikuti misi kemanusiaan sana sini.

Pemergian abi sangat tidak diduga. Kerana abi langsung tidak menunjukkan tanda sakit atau kepenatan. Yang aku dapati senyum dan kegembiraan terpatri di wajahnya sepanjang berada di sini.

Masih aku ingat antara jenaka yang selalu beliau modalkan dalam tour ceramah ceramahnya dahulu,

“Kita berjuang untuk Islam ini kena banyak juga berkorban. Saya sendiri sampai keluar malam balik bila jumpa anak, anak takut ingatkan benggali mana”  Dan seperti biasa jenaka abi jarang tidak mencuit hati.

Sejak dari semalam tidak putus putus orang menceritakan jasa abi buat umat islam. Bukan sahaja dalam urusan agama, abi juga telah buktikan dengan imej serban dan janggut abi juga mampu menyumbang jasa dalam sukan, dalam misi misi kemanusiaan. Demi Allah tuhan pemegang nyawa, kami semua menjadi saksi atas kebaikan abi.

Momen paling berharga…

Menguruskan jenazah abi menjadi momen paling berharga dan kritikal buat aku. Benar air mata ini sukar ditahan. Air mata rindu dan gembira bercampur baur turun sepanjang menguruskan susuk jenazah abi.

Rindu kerana tiada lagi susuk tubuh yang sentiasa memberi tunjuk. Gembira kerana abi dijemput Allah di tempat kekasihNya, di tempat Baginda menjanji syafaat, dibangkitkan bersama Kekasih Rasulullah SAW, dan para sahabat. Benarlah sabda nabi kita semua akan dibangkit dengan siapa kita sayang.

Abi sangat sayangkan agamanya. Oleh sebab itu abi sayangkan kami ahli keluarga dengan agama. Bab agama paling dijaga dan diambil berat.

Abi sangat sayangkan imannya. Oleh sebab itu abi paling pantang jika ada benda yang boleh merosak imannya dan iman saudara saudaranya yang lain.

Abi sangat sayangkan agamanya, dan itulah membuatkan beliau terus cekal meneruskan usaha dakwahnya tanpa jemu dan penat mendidik dan berjasa pada saudara seagamanya.

Tidak mengapalah abi, kami adik beradik tidak kisah berkongsi abi. Berkongsi dengan perjuangan dan ummah ini.

Selalunya, aku malu untuk mengaku aku anak abi di hadapan kawan kawannya semasa ketiadaan abi. Oleh kerana itu tidak ramai yang mengenali aku berbanding abi. Kerana bimbang kalau kalau aku melakukan perkara perkara yang boleh memalukan abi. Tetapi tidak pada hari ini. Biar semua tahu kami adik beradik sekeluarga redha dan bangga dengan pemergian abi!

Image may contain: Ustaz Norazli, beard

Sungguh cantik perancangan tuhan…

Abi dijemput tuhan saat sudah selesai urusannya di sini. Selesai umrah, selesai hadir majlis ramah mesra bersama ibu bapa pelajar Madinah, selesai hadir Majlis Konvokesyenku. Langsung tidak tertera raut kesakitan atau sedih dengan senyum dan gembira beliau sepanjang di bumi madinah ini. Siapa sangka potret konvo yang dirakam bersama keluarga bakal menjadi potret yang paling mahal yang paling sedih untuk dikenang dan ditatap.

Saat tulisan ini dikarang, masih lagi tangan ini berbau wangian ketika memandikan abi. Sungguh waktu itu aku rasakan abi seperti tidak sabar lagi bersiap bersolek untuk menghadap tuhan rabbul izzati. Anak tunggal lelakimu ini berjanji akan menggalas tugas sebagai nahkoda keluarga kita mengikut acuan yang telah abi bentuk selama ini seberat mana pun ia. Akir janji jaga adik adik dan umi!

Kalau ditanya apa yang paling aku kesali tak sempat berbuat semasa abi hidup, aku kesal tidak salam dan cium peluk abi di pagi hari kematian kerana aku sangka esok masih ada lagi hari untuk aku dan abi. Sentiasalah hargai momen dan nikmat tuhan selagi masih ada sebelum ia ditarik kembali. Kerana tiada yang kekal di dunia ini melainkan Yang Abadi.

Cukuplah dahulu tulisan dan perkongsian ini. Jika mahu dicoretkan kehidupan abi, sungguh tidak cukup aksara untuk disusun dan ditulis. Semoga tulisan tulisan tentang jasa jasa abi menjadi inspirasi kami untuk kami contohi. Semoga yang masih lagi memusuhi abi diberi taufiq dan hidayah dan menjadi lebih kuat dirinya untuk berjasa dengan agama dan umat ini.

Benar pemergian abi dicemburui. Namun aku rasa akulah yang paling cemburu kerana sentiasa sejak mula mula sampai di sini, doa yang selalu aku zikirkan adalah untuk mat1 di sini, tetapi tuhan menjemput abi dahulu.

Madinah ini kampung kita abi!

0415 am
Madinah alMunawwarah

sumber; Ahmad Syakir Norazli

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*