Tahukah Anda Sambung Bayar Kereta Adalah Kesalahan Jenayah Di Bawah Undang2 Malaysia. Mari Dengar Nasihat Pakar…

Kami sering dihubungi client yg bertanyakan tentang isu sambung bayar kereta. Ada di antara mereka yg tidak lepas untuk membuat pinjaman dengan bank bagi membeli kereta baru. Ada juga yg ingin menolong saudara atau rakan yg sedang dihimpit masalah kewangan dengan membantunya menjelaskan ansuran bulanan kereta tersebut.

Namun yg menjadi masalah besar apabila geran kereta tersebut masih lagi atas nama pemilik asal dan “si penyambung bayar” pula hanya menjelaskan bayaran bulanan atas dasar kepercayaan di antara mereka. Maka client sebegini menghubungi kami untuk meminta khidmat kami medraft “Perjanjian Sambung Bayar Kereta” tanpa menukarkan nama geran kereta tersebut kepada pemilik baru atau dalam erti kata lain, kereta tersebut masih di atas nama pemilik asal.

Persoalannya, sahkah “Perjanjian Sambung Bayar Kereta” ini di sisi undang-undang?

“Sambung Bayar” sebenarnya adalah menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Anda tidak mempunyai hak untuk “memindahkan” atau “Sambung Bayar” kemudahan pinjaman bank seseorang kepada orang yang lain.

Mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212);

Seksyen 36A:
Mana-mana pemunya, peniaga, ejen atau orang yang bertindak bagi pihak pemilik yang mengumpul apa-apa bayaran berkenaan dengan perjanjian sewa-beli selain daripada bayaran yang disenaraikan dalam Jadual Kedua atau bayaran yang dibenarkan di bawah Akta ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini.

Seksyen 36B:
Mana-mana orang yang bukan pemilik, peniaga, ejen atau orang yang bertindak bagi pihak pemilik yang mengumpul apa-apa bayaran daripada penyewa berkenaan perjanjian sewa-beli adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini.

Seksyen 38:
Tiap-tiap orang yang, oleh pelupusan atau penjualan apa-apa barang yang terkandung dalam perjanjian sewa-beli, atau dengan pengeluaran barang-barang itu, atau oleh apa-apa cara lain, defrauds atau cuba untuk menipu pemilik adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini dan hendaklah, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 25(1):
Ia juga menyalahi undang-undang bagi mana-mana orang, pengedar, ejen atau syarikat untuk menerima, mengambil atau menerima sebarang deposit tanpa lesen yang sah.

Seksyen 27(A):
Ia juga menyalahi undang-undang bagi mana-mana, pengedar, ejen atau syarikat untuk mengiklankan pengambilan deposit secara haram.

Para pembaca di luar sana disarankan supaya tidak terlibat dalam apa-apa jenis skim “Sambung Bayar” kereta kerana perjanjian anda tidak selaras dengan undang-undang Malaysia dan tidak mungkin boleh diterima pakai jika perkara menjadi kelam kabut dan memerlukan prosiding di Mahkamah.

Menolong orang dalam kesusahan sememangnya perbuatan yang sangat mulia apatah lagi melibatkan soal kewangan. Dalam situasi ini tidak ramai yang suka membantu. Namun pertolongan yang dihulurkan bukanlah bermaksud membeli atau menempah risiko. Ia hanya sekadar pertolongan menyambung bayar kenderaan kenalan kerana niat ingin menolong dan sekali gus mendapat kenderaan dengan mudah tanpa perlu melalui urusan dengan pihak berkuasa dan institusi kewangan.

Sebenarnya urus niaga seperti ini hendaklah dielakkan. Terdapat banyak cara lain yang boleh digunakan untuk membantu. Untuk rekod, urus niaga menyambung bayar kenderaaan tanpa penukaran hak milik banyak mengundang masalah, terutamanya dari segi penipuan, kemalangan, tuan kenderaan asal meninggal dunia dan juga kecurian.

Walau apapun surat perjanjian yang dilakukan, ianya tidak akan membantu jika berlaku sebarang penipuan. Ini kerana pemilik asal kereta tersebut masih lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas kenderaan tersebut dan boleh menuntut pada bila-bila masa. Dan semestinya hak menyambung bayar kenderaan akan terlucut serta merta.

Keadaan akan menjadi lebih rumit jika tuan punya asal kenderaan meninggal dunia. Waris yang layak boleh mengabaikan apa juga perjanjian yang termeterai dengan tuan punya asal kenderaan sebelum itu dan berhak menuntut kenderaan pada bila-bila masa.

Ternyata orang yang menyambung bayar kenderaan tidak boleh berbuat apa-apa selain menyerahkan kenderaan tersebut apabila dituntut oleh waris, padahal anda yang membayar ansuran bulanan. Tidak adil bukan?

Jika kenderaan itu dicuri atau mengalami kemalangan teruk, segala tuntutan ansuran hanya boleh dibuat oleh tuan punya kenderaan yang berdaftar sahaja.Dan jika melibatkan kerosakan teruk akibat kemalangan dan perlupusan kenderaan perlu dilakukan, maka pembayaran selepas ditolak baki pinjaman, hanya akan dibayar kepada tuan punya asal kenderaan oleh penanggung insurans.

Oleh itu, anda yang bukan tuan punya asal kenderaan walaupun sah dari segi perundangan dan perlindungan insurans tidak akan mendapat apa-apa bayaran.

Namun jika anda berniat untuk membantu kenalan, lakukanlah dengan mengikut prosedur yg betul dan sah di sisi undang-undang. Jangan mengambil risiko besar dengan tidak menukar hak milik kenderaan. Carilah jalan terbaik dengan menasihati tuan punya kenderaan asal untuk berbincang dengan institusi kewangan.

Terdapat pelbagai pakej menarik yang ditawarkan oleh pihak Bank. Lakukan penjadualan semula pembayaran atau penyerahan kenderaan kepada insitusi kewangan sebelum tamatnya notis jaduan keempat iaitu notis peringatan terakhir sebelum kenderaan ditarik.

Pilihlah langkah yang selamat dan tidak merugikan anda. Janganlah mengambil risiko menyambung membayar kenderaan tanpa menukar hak milik kerana tiada sesiapa pun boleh meramal apa yang bakal berlaku di kemudian hari.
Moga Bermanfaat~

Ihsan Messrs. Azimah & Co.
Cyberjaya
012-325 6211 / 03- 8688 2639

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*