Tentu ramai yang tidak tahu kenapa Najib Razak terlibat dalam Jemaah Mesyuarat Pangkuan DiRaja Pahang…

http://celahgelegar.blogspot.com

KENAPA NAJIB RAZAK TERLIBAT DALAM JEMAAH PANGKUAN DIRAJA PAHANG?

Seperti yang diketahui, Jemaah Pangkuan Diraja Pahang telah melantik Sultan Pahang yang baharu, iaitu Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah.

Ada pula yang mempersoalkan keberadaan ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Mesyuarat Jemaah Pangkuan Diraja Pahang.

Bagi mereka yang tertanya-tanya, kenapa bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (DSNR) boleh terlibat dalam Jemaah Pangkuan Diraja tersebut, ini sedikit penjelasan.

1. DSNR merupakan salah seorang Orang Besar Berempat, iaitu antara kumpulan pembesar negeri Pahang.

2. Gelaran bagi DSNR dalam Orang Besar Berempat ialah Orang Kaya Indera Shahbandar (OKIS).

3. Orang Besar Berempat biasanya dipilih berdasarkan keturunan mewakili kumpulan atau puak tertentu di Pahang. DSNR dipilih sebagai OKIS kerana menggantikan ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang merupakan OKIS ke-10. Tun Razak pula mewarisi gelaran tersebut dari ayahandanya Dato’ Hussein,    OKIS ke-9.

4. Orang Besar Berempat merupakan salah satu daripada anggota Jemaah Pangkuan Diraja bagi Negeri Pahang, selain Kerabat-Kerabat Diraja Bergelar, Kerabat-Kerabat Diraja yang tidak bergelar, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam Belas, Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti Kerajaan Negeri,

Penghulu (dua dari Hulu Negeri dan dua dari Hilir Negeri), Orang Besar Raja, Dato’ Yang Kehormat, seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama (S.S.A.P.), dan seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama, Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.).

Inilah sebabnya beliau terlibat, bukan kerana beliau bekas Perdana Menteri, atau ‘tangan-tangan ghaib’ tertentu.

Semoga penjelasan ini dapat tambah pengetahuan kita semua, dan menambah rasa hormat kita pada institusi diraja dalam negara kita.

Zahirul Nukman Narakna.
12 Januari 2019.

link sumber; http://celahgelegar.blogspot.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*