‘Ustazah, makcik dah tak percaya Allah itu ada….’

Asma Binti Harun

Sambil menyeka air matanya “Dulu makcik tak tinggal solat, makcik jatuh pengsan ketika nak ambik wuduk, terhantuk dan tempurung kepala pecah, sebab tu kepala senget takde tempurung, separuh badan lumpuh tak boleh digerakkan, sejak itu makcik tak solat. Makcik juga dah tinggal bacaan amalan sebelum tidur, 3 qul, ayat kursi dan doa-doa. Sekarang ni makcik dah tak minta apa-apa dengan Allah, Sebab makcik tak rasa Allah ada..” esakannya makin kuat.

Dada saya sebak menahan rasa, saya peluk kuat, dengan tenang dan jelas saya bisik : “makcik, saya datang kerana Allah gerakkan hati saya, saya hanyalah perantaraan Allah untuk rintihan hati makcik, yakinlah Allah sangat dekat dan sangat sayang pada makcik”

“Ustazah, makcik redha Allah uji bertimpa-timpa daripada dulu, tapi makcik dah penat menanggungnya, lama sangat. Bila makcik dah sakit tak boleh bergerak begini, anak-anak maki hamun makcik.. Itu yang makcik dah tak mampu tanggung!”.

Kali ni saya pula menangis lebih kuat, bila saya tanya pada menantunya (isteri anak ke 2) yang ada disitu, betulkah apa yang saya dengar, dia mengangguk sambil bergenang air mata, Kata-kata yang sangat pedih untuk seorang ibu tua dan sakit menerima kata nista itu setiap hari, tak sanggup untuk saya tulis disini. Patutlah jiwa ibu ini dah sangat rapuh, sambungnya “selama ni makcik teruskan hidup kerana anak, mereka nyawa makcik, tapi bila anak buat begini hidup makcik dah kosong..”

“Anak makcik semua lelaki 5 orang, selepas lahir anak ke 5 ketika tu umurnya dalam 2 bulan, suami tinggalkan makcik bernikah dengan perempuan lain, bermula daripada itu hidup makcik kerja siang malam untuk besarkan 5 orang anak lelaki, makcik bagi mereka sepenuh kasih sayang, tapi kemewahan memang tak dapat, kami miskin, yang paling terkilan makcik tak bagi mereka didikan agama, anak-anak sampai sekarang semua tak solat.. ”

si ibu teresak-esak.. semua ni salah makcik, tak didik mereka elok-elok, mereka tu penat kerja balik malam, sebab tu mereka tengking maki hamun makcik.. Makcik redha dan maafkan mereka, makcik tak mahu hidup mereka susah hanya disebabkan makcik tak redha.. Mereka anak-anak makcik.

“Anak sulung dah lama kahwin, tapi lepas kahwin dia tak balik-balik, makcik tak tahu dia duduk mana, tak ada khabar langsung, tak pernah telefon..” terus basah bibir matanya, nampak sarat kerinduan pada si anak yang datang daripada rahimnya, “Dia malu agaknya, Bukan salah dia, salah makcik” Allahu.. Ayat tu sangat menghiris halus hati ini, semua salah dan silap, ibu ini sanggup pikul.

“Makcik, meh solat”

“Solat? makcik nak solat camana? nak ambik wuduk pun tak mampu. Makcik tak boleh jalan, pakai pampers, sejak jatuh ingatan makcik pun kurang baik..”

“boleh makcik, meh saya ambikkan wuduk”
Saya minta berikan botol penyembur air, memang ada disitu, katanya memang air bersih digunakan untuk lap badannya.

Satu persatu ditunjukkan tatacara wuduk menggunakan spray.

Ketika air dipercikkan di wajahnya sambil mengingatkannya supaya berniat, lalu saya ratakan air dengan tangan, air mata sang ibu menitis laju.. “ustazah, dah lama makcik tak ambik wuduk, ya Allah.. Makcik tak tahu boleh ambik wuduk begini, tak ada yang ajar dan tolong makcik”

Dalam sebak saya teruskan untuk anggota tangan hingga ke siku, kepala, kemudian kaki.

“kaki makcik kotor tu ustazah”,

“tak apa makcik saya dah biasa, sebelum ini selalu ambikkan wuduk untuk ayah saya. Dia sakit kanser, lama dia diuji Allah, daripada kanser saluran makan, ke paru-paru, kemudian ke tulang pula, baru 2 minggu lepas pada 10 ramadhan, ayah kami meninggal dunia. Kali ini tangisan saya lebih kuat, saya rindukan setiap anggota wuduk ayah terutama wajahnya.

“makcik jaga solat ya, ayah saya tak tinggal solat, ketika di icu pun dia minta nak solat, orang sihat wajib solat, orang sakit lagi kena jaga, sebab dah ada tanda peringatan daripada Allah akan tanda kematian kita..”

“Hidup makcik banyak ujian, banyak derita, insyaAllah jika makcik tetap teguh jaga solat, disana nanti tak ada lagi kesedihan dan dukacita, syurga Allah ubat segalanya. Hidup kita dah menderita didunia, nauzubillah jika disana menderita juga”.

“iya ustazah, makcik nak solat balik”

Kami pusingkan badannya menghadap qiblat, dipakaikan telekung yang dah lama tak bersentuh, seterusnya ditunjukkan satu persatu tatacara solat sambil duduk di atas katil, solat dimulakannya dengan esak tangis hingga selesai.

Saya terus peluknya kuat sambil kami sama-sama ulang kata-kata syukur.

“Ustazah.. Sekarang makcik percaya.. ALLAH ITU ADA, RASULULLAH ADA. Allah dah hantar ustazah petang ni, dah lama makcik tak wuduk tak solat, moga Allah ampunkan makcik.. ”

Maha suci Allah, Engkaulah yang menggerakkan hatiku. Petang ini saya resah gelisah, sedang riang siapkan barang untuk pulang beraya ke Terengganu jangkaannya selepas berbuka, hati meronta untuk pergi ke satu kawasan rumah flat tak jauh dari rumah. Sebaik suami tiba dalam jam 6 terus saya minta dihantarkan. Disana saya bertanya-tanya ada tak sesiapa yang perlukan bantuan, seorang hamba Allah membawa saya di rumah ibu ni. Allah maha mengaturkan segalanya.

Terima kasih kepada para pembaca yang mendoakan dalam diam, para penyumbang dana infaq dan sesiapa yang share post ini.

Hanya kepada Allah kita semua mengharapkan perhatian dan ganjaran.

Moga Syawal ini membawa seribu erti buatnya, eidulfitri yang membawa maksud kembali kepada fitrah iaitu Fitrah hidup bertuhan.

Amalkan doa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ

“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kefakiran dan kekufuran serta adzab kubur.” (HR. Abu Dawud, Al-Nasai, dan Ahmad)

Sumbangan : wang tunai sumbangan para dermawan. Kehidupan mereka sangat dhaif. Rumah kecil 2 bilik, 3 orang anak lelaki bujang seorang berkahwin ada dua anak kecil. Pendapatan hasil jual air di tepi jalan.

sumber; Asma Binti Harun

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*