[Video] Dr Kamilin Jamilin, mahasiswa terbaik USIM; Doa Ibu memang sungguh MENAKJUBKAN impaknya…

dr kamilin jaimiln

Tanpa ibu dan ayah, siapalah kita di dunia ini. Betapa besar pengorbanan mereka yang melahirkan dan membesarkan kita, dan sebesar itu jugalah kuasa doa seorang ibu kepada anaknya. Disebabkan itulah… syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Ucapan seorang graduan PhD dalam Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mewakili graduan siswazah dalam majlis Konvokesyen USIM ke-16 cukup terkesan di hati. Berbekalkan keyakinan dan DOA seorang ibu, siapa sangka Dr. Kamilin Jamilin mampu lulus cemerlang tanpa sebarang pembetulan pada tesis 3 jilidnya. Ikuti perkongsiannya di dalam akaun Facebook miliknya.

Berkat doa seorang ibu...

Berkat doa seorang ibu…

Alhamdulillah dengan tawfiq Allah hari ini saya telah dianugerahkan anugerah ‘Chansellor Award’ (Siswazah Terbaik Keseluruhan) dan ‘Faculty Award’ (Ph.D by Research) serta diberi peluang memberi ucapan khas mewakili graduan siswazah di majlis konvokesyen USIM ke-16.

Ini merupakan pengiktirafan tertinggi akedemik yang saya perolehi dan langsung tidak menjangkakan akan menerimanya.

Allah telah menguji saya susah senang sepanjang perjalanan pengajian saya dari kecil.

Dari pernah melalui kehidupan ‘0 markah’ selama 6 tahun berpindah randah sekolah sehinggalah kembali fokus belajar selama sekitar 3 bulan untuk mendapat anugerah pelajar terbaik sekolah (SPM).

Kemudian Allah buka kembali peluang untuk saya menghafal al-Quran di Darul Quran Jakim di bawah program persijilan UIA yang setahun setengah tempohnya dan berjaya khatamkan selama 5 bulan.

Pernah sehari 18 muka hafalan baru saya hafal demi cepat mengejar impian menjadi arkitek di UIA.

Iringan doa dan restu dari seorang ayah.

Iringan doa dan restu dari seorang ayah.

Allah telah mengatur hidup saya dengan ‘memadamkan’ impian karier saya untuk menjadi arkitek ternama dunia dengan menerima tawaran belajar di Universiti Islam Madinah semasa masih di tahun pertama matrikulasi UIA.

Tidak pernah saya impikan untuk menceburi bidang Hadis atau Pengajian Islam, bahkan dahulunya saya sungguh tidak meminatinya.

Di Madinah, setahun saya terpaksa ‘struggle’ belajar bahasa arab di Pusat Pengajian Bahasa Universiti sebelum memilih jurusan Hadis, suatu bidang yang ketika itu saya langsung tiada idea mengenainya.

Dahulu sangat kurang mereka yang boleh memberi inspirasi kepada kita yang ketika itu masih sangat jauh dari ilmu agama.

Ketika menerima Anugerah Canselor.

Ketika menerima Anugerah Canselor.

Kemudian saya menempuhi 4 tahun pengajian di Fakulti Hadis dan Pengajian Islam tanpa pernah ponteng (kecuali beberapa kali disebabkan demam teruk dan pergi menyaksikan hukuman Qisas).

Alhamdulillah untuk peringkat Sarjana Muda ini saya telah mendapat Anugerah Khas Pengajian Tinggi oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Konsul Pendidikan Jeddah Arab Saudi atas kecemerlangan pengajian.

Saya yang ‘kehabisan bateri’ ketika itu mengambil keputusan untuk pulang berehat seketika di tanah air mencari rezeki.

Ucapan wakil graduan pasca siswazah.

Ucapan wakil graduan pasca siswazah.

Sekali lagi saya dalam keadaan dilema apabila perlu membuat keputusan untuk menerima tawaran kerja di Bank Negara Malaysia atau USIM. Antara bidang kewangan Islam di badan berprestij negara atau peluang meneroka lebih mendalam bidang hadis di medan akedemik. Sungguh tersepit rasanya keadaan saya ketika itu!

Selepas banyak beristikharah, saya akhirnya dengan penuh sukar dan berbelah bahagi mengambil keputusan untuk bersama USIM dan bertekad untuk kembali meneruskan pengajian hadis saya yang saya minati di Arab Saudi, cuma kali ini saya mahu ‘lari’ ke Riyadh kerana mahu belajar di tempat yang kurang pelajar Malaysia.

Allah yang tahu betapa cemasnya saya untuk sambung menimba ilmu hadis di peringkat pengajian tinggi di King Saud University of Riyadh yang meletakkan ‘expectation’ yang tinggi buat pelajar ‘master’nya.

Kerap saya tertanya pada diri sendiri: “Mampukah saya?” tatkala melihat tesis-tesis hadis ‘gergasi’ di perpustakaannya atau ketika bersama rakan-rakan sekelas yang hebat.

Dengan prinsip yang saya selalu bisikkan pada diri: “Buat yang terbaik Kamilin!” saya berjaya tamatkan pengajian sarjana saya selama 4 tahun di sana tanpa sebarang penangguhan.

Tesis hadis saya yang sebanyak 4 jilid, 1800 halaman itu juga dinilai cemerlang tanpa sebarang pembetulan dalam suasana ‘viva’ yang sangat mencemaskan, sehingga saya dianugerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang & Tesis Cemerlang tahun 2013 oleh pihak Universiti.

Bahkan pada keputusan akhir viva tersebut, penilai tesis saya Prof. Dr. Ahmad al-Batili menyebut: “Andai universiti ini mempunyai sistem upgrade ke Ph.D, nescaya kami sudah upgrade tesis anda kepada Ph.D!”.

Saya jawab: “Tak apa, saya tidak kisah, bukan itu yang saya kejar. Saya cuma mahu peluang menimba ilmu”.

Dianugerahkan dengan Anugerah Canselor.

Dianugerahkan dengan Anugerah Canselor.

Pada akhir tahun 2014 saya kembali meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah saya di kala hidup saya dipenuhi dengan pelbagai komitmen.

Berkat tawfiq dari Allah, dalam tempoh setahun setengah saya telah berjaya menyiapkan tesis saya yang setebal 1500 halaman (tinggal edit sahaja).

Saya masih ingat lagi kali terakhir saya ‘menyentuh’ tesis saya di laptop ialah ketika malam hari ketika ‘contraction’ isteri menanti detik kelahiran anak kedua saya.

Selepas itu, setahun setengah saya ‘berehat’ dari tesis kerana sibuk dengan komitmen luar, menulis buku, jurnal, dan pelbagai lagi.

Sebab itu saya masih lagi tidak mahu submit tesis saya hingga akhir tempoh 3 tahun yang diberikan.

Dalam tempoh tersebut saya berjaya mendapat Anugerah Karya Asli Terbaik (Kategori Bahasa Arab) oleh badan penerbitan USIM, kemudian 4 lagi buku saya berjaya diterbitkan sepanjang tempoh ‘cuti belajar’ saya selama 3 tahun itu.

Saya juga berjaya menghasilkan beberapa jurnal dan melakukan beberapa kajian bergeran bersama sahabat di USIM walaupun saya masih lagi dalam proses ‘bercuti’.

Ketika itu juga saya dihubungi sendiri oleh SS Datuk Mufti Dr. Zulkifli Al-Bakri di suatu pagi yang berhasrat melantik saya sebagai Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, dan kemudian sebagai Jawatankuasa Penasihat Lajnah MSN MAIWP.

Tidak lama selepas itu saya dilantik pula sebagai Jawatankuasa Penerbitan Negeri Perlis, dan di akhir pengajian ketika pertemuan saya dengan SS Datuk Mufti Dr. MAZA suatu malam, beliau bercadang untuk melantik saya sebagai Ahli Majlis Fatwa Perlis.

Allah yang tahu betapa erti masa ketika itu sangat saya hargai.

Saya ingat lagi ketika dalam suatu mesyuarat di Kuala Lumpur, beliau bertanya pada saya: “Bila viva?”, dan saya hanya menjawab “Tak lama dah insyaAllah Dato”, sedangkan esok hari sebenarnya ‘viva-vorce’ saya.

Boleh tahan cemas menanti detik ‘viva’ sedangkan saya tidak bersedia apa untuk ‘viva’ esok hari. ‘Slide’ Powerpoint untuk dibentangkan esok juga masih tak buat-buat.

Saya hanya mendapat notis ‘viva’ seminggu lebih sahaja sebelum tarikh ‘viva’ dengan saya yang ketika itu sedang mengembara ke Indonesia.

Dr Kamilin bersama ahli keluarganya.

Dr Kamilin bersama ahli keluarganya.

Namun Alhamdulillah Allah tutup aib saya dan mempermudah segala urusan dengan memberikan natijah lulus cemerlang tanpa sebarang pembetulan pada tesis 3 jilid saya itu.

Saya pasti banyak kekurangan jika mahu dicari aibnya, namun saya percaya akan ‘kuasa’ Allah, kemudian berkat doa ibu ayah mengatasi segalanya.

Akhirnya ini hanyalah kejayaan dunia, sedangkan kejayaan akhirat jualah yang dicari dan kekal abadi.

Andai kejayaan dunia ini saya tidak manfaatkan untuk mencapai kejayaan akhirat, hakikatnya saya hanyalah orang yang sangat rugi.

-Dr. Kamilin Jamilin-

Penerima Anugerah Canselor USIM 2018

Sumber: FB Kamilin Jamilin – Seni Hadith

kredit link; kampusuols.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*