Mufti Pahang – Pandangan Mujahid bercanggah dengan hadis

WZWH

SHAH ALAM – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini berkenaan isu khalwat, merupakan satu pandangan yang bertentangan dengan hadis.

Menurut beliau, mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap orang Islam sebagaimana hadis Rasullah, apatah lagi apabila ia didasari dengan bukti.

“Sebagai orang Islam, jika nampak perkara yang mungkar sebagaimana hadis Rasullullah, maka hendaklah dicegah dengan tangannya.

“Penguatkuasa ni bukan pergi buat serbuan tanpa sebab. Kalau ceroboh memang tak boleh, tetapi bila ada laporan, dia pergi kerana itu tugas dia..

“Mencegah kalau tak mampu dengan tangan, kena nasihat. Kadang dia pergi (serbuan) bukan untuk tangkap tapi beri nasihat. Kalau tak mampu juga, marah dalam hati, yang mana itu selemah-lemah iman.

“Sebagaimana hadis Rasulullah, hendaklah kamu jadi sebahagian orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.. maknanya kalau kita kata tak boleh sekat perkara mungkar, ia bercanggah. Boleh terpesong akidah kita.. kecuali ada sebab-sebab tertentu,” katanya kepada SuaraTv.

Mujahid baru-baru ini berkata tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam. Ini kerana jelas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan urusan kerajaan.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah. Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” petik kata Mujahid dalam temubual eksklusif bersama The Star.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Rahman berkata, Mujahid sebenarnya tidak mempunyai hak untuk memberi apa-apa arahan berkaitan penguatkuasaan membabitkan hal ehwal agama Islam.

“Yang arahkan adalah Majlis Agama Islam Negeri.
“Hal-hal agama atau arahan kepada mana-mana pihak berkuasa agama, yang ada kuasa adalah Majlis Agama Islam di bawah Tuanku Sultan. Dia (Mujahid) tak ada kuasa. Penguatkuasa tidak akan patuhi arahan dia. Bukan kuasa dia untuk beri arahan,” katanya lagi.

sumber; SuaraTV via http://www.ibnuhasyim.com

U-turn : Mujahid tak boleh salahkan Media, ajaran Mujahid jelas cerminan sebenar

Datuk Dr. Mujahid tidak boleh menyalahkan pihak media yang kononnya telah membuat pentafsiran yang salah terhadap kenyataan beliau.

Ini kerana, pendirian beliau yang menolak campur tangan penguatkuasa atau kerajaan terhadap kelakuan yang dibuat dalam ruang peribadi itu sememangnya menatijahkan maksud larangan terhadap tindakan intipan dan serbuan ke atas perlakuan maksiat khalwat.

Penegasan kononnya bahawa perkara tersebut berada di bawah kuasa kerajaan negeri pula adalah sekadar alasan yang separuh benar; kerana, jenayah syariah khalwat yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan iaitu beliau selaku Menteri Agama bertanggungjawab terhadapnya.

Adakah Menteri Agama ini akan membiarkan para penguatkuasa menjalankan tugas mengetuk pintu-pintu hotel sekiranya ada aduan yang dibuat atau operasi tersebut akan dihalang oleh beliau?

Jelas boleh difahami daripada kenyataan beliau itu ialah tindakan tersebut (intipan atau serbuan) tentu tidak akan berlaku di Wilayah Persekutuan di bawah kawalan Menteri ini.

Itulah juga kesimpulan yang dibuat oleh para wartawan sehingga dijadikan tajuk utama di banyak media cetak dan media elektronik.

DATO’ DR. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK Kerja PAS Pusat /
Ahli Parlimen Kuala Nerus

sumber; http://celahgelegar.blogspot.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*